RAMADAN yang lepas, aku dapat menyaksikan seorang nenek tua menjinjing sebuah raga plastik yang di dalamnya terdapat berpuluh bungkusan rebung jeruk.
Bakul dan kandungan di dalamnya kelihatan amat berat bagi wanita menjangkau usia hampir seabad itu, namun digagahi juga.
Beliau berjalan terhinjut-hinjut ke arah satu lokasi di Bazar Ramadan berhampiran Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah.
Dengan mengalas sehelai kain, nenek itu duduk bersimpuh dan ada kalanya bersila sambil menjaja rebungnya.
Sewajarnya pada usia yang sebegitu, wanita tua itu perlu berehat di rumah sambil beribadat, bagi meniti sisa-sisa hidupnya.
Namun tidak bagi seorang nenek tua itu, Puteh Lazim, 87, selagi kudrat dan hayatnya masih ada, beliau akan terus menjaja jeruk rebung bagi menyara kehidupan sehariannya.
Puteh tinggal di Kampung Pokok Machang, Kuala Nerang, Kedah bersama seorang anak perempuannya Sharipah Sharif yang berusia 68 tahun dan itulah sahaja keluarganya yang masih ada.
Setiap hari sepanjang bulan ramadan ini, Puteh akan turun dari rumah sejauh 45 kilometer untuk ke bazar Ramadan itu bagi menjaja jeruk rebung.
Rezekinya cukup murah, mungkin juga atas dasar simpati daripada orang ramai, jeruk rebung dengan harga RM3.00 sebungkus itu habis dijual dalam tempoh dua jam sahaja.
Walaupun jeruk rebung dalam bakulnya sudahpun kosong, Puteh masih bersimpuh di tempat jualannya, dan masih ada rezeki lagi buat dirinya, apabila orang ramai yang lalu lalang di situ bersedekah kepadanya sekurang-kurangnya RM1.00 setiap seorang.
Kebetulan juga, di masa yang sama Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sedang melawat bazar Ramadan di situ, melihat sahaja Puteh, beliau terus menghampiri nenek tua itu, bersembang-sembang sambil bertanya khabar dan turut memberi sedekah kepadanya.
Kisah duka nenek itu turut dipaparkan oleh siaran berita TV9.
0 comments:
Post a Comment